CHANNEL UMB

Isu Semasa Pemuda: Pengundi Dedah Wujud Pengundi Hantu, Pengundi Setinggan Di Permatang Pasir

Monday, August 17, 2009 by Unit Media Baru PPUM · 0 comments
Filed under: ,


Oleh Haris Razali

Pulau Pinang -- Pemuda UMNO hari ini mendedahkan wujudnya pengundi hantu atau pengundi setinggan di kawasan pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir yang dipercayai dilakukan parti pembangkang terutama Pas.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata pihaknya mempunyai maklumat mengenai perkara ini dan akan melaporkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kita dapati bahawa ada masalah pengundi hantu yang begitu ketara kali ini di Permatang Pasir,. Pengundi hantu itu kita syaki adalah penyokong parti pembangkang terutama Pas yang telah didaftar sejak setahun yang lepas.

"Maklumat ini akan kita sampaikan kepada SPR. Sejak pilihan raya umum lepas, ada pendaftaran pengundi baru lebih daripada 1000 pengundi baru di Permatang Pasir yang menunjukkan penambahan yang luar biasa yang tidak mengikut trend normal yang biasa di kawasan ini", katanya.

Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Exco Pemuda UMNO Malaysia di sini, Ahad malam.

Jelasnya lagi Pemuda juga menerima maklumat terdapat beberapa rumah yang mendaftar begitu ramai pemilih.

"Ada juga rumah Melayu yang daftar ramai pemilih daripada kaum Cina dan ada juga pemilik rumah tersebut orang Cina tetapi didaftarkan di situ beberapa nama pengundi Melayu.

"Di Cross Street misalnya ada lapan hingga sepuluh orang pengundi Melayu tetapi rumah itu di diami oleh pengundi atau penduduk kaum Cina. Jadi ini bertentangan dengan senarai daftar pemilih yang diberian oleh SPR kepada setiap parti politik", ujarnya.

Justeru tegas beliau Pemuda akan menghantar petugas untuk mengunjungi rumah tersebut untuk mendapat lebih kepastian.

"Kita akan tanya tuan rumah atau sesiapa sahaja yang berada di rumah terbabit. Kalau mereka tidak kenal, maka kita akan bawa pegawai SPR ke rumah tersebut supaya mereka ini dibatalkan sebagai pengundi.

"Dengan maklumat ini kita harap SPR dapat memberi tumpuan kepada perkara ini. Saya rasa ini satu strategi di mana mereka dipindah daripada kawasan tertentu yang mungkin dahulunya dimenangi oleh DAP yang tidak perlu pengundi Pas dan mereka dipindah ke Permatang Pasir", katanya.

Beliau juga turut memberitahu menerima beberapa panggilan daripada Pemuda Pas yang mahu memberi sokongan kepada BN kerana kecewa dengan sikap pemimpin mereka terutama berkenaan hubungan Pas dengan DAP.

"Saya dimaklumkan ada ahli pemuda Pas yang mahu memberikan sokongan secara senyap-senyap kepada BN.

"Jadi saya tanya apa masalah, mereka kata tidak dihormati oleh DAP. Mereka setuju dengan saranan saya agar Pas diberikan tempat di dalam kerajaan negeri. Oleh kerana Lim Guan Eng enggan memberikan tempat kepada Pas, orang muda dalam Pas begitu kecewa", ujarnya.

Pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Rohaizat Othman, Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd Salleh Man dan seorang calon bebas, Kamarul Ramizu Idris.

Kerusi DUN Permatang Pasir kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman daripada Pas yang meninggal dunia pada 31 Julai akibat sakit jantung.

Sumber : Pemuda UMNO

Comments

0 comments to "Isu Semasa Pemuda: Pengundi Dedah Wujud Pengundi Hantu, Pengundi Setinggan Di Permatang Pasir"