CHANNEL UMB

Pemuda UMNO tetap sasaran kembalikan sokongan rakyat

Wednesday, October 14, 2009 by Unit Media Baru PPUM · 1 comments

KUALA LUMPUR 14 Okt. — Pemuda UMNO hari ini menetapkan sasaran mengembalikan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) dengan mencadangkan satu set lima penanda aras menilai prestasi sebagai garis panduan gerak kerja pergerakan itu.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ketika membentangkan cadangan itu berkata, penanda aras itu selaras dengan semangat 1Malaysia yang mementingkan prestasi demi rakyat.

Antara lima penanda aras yang diterapkan itu ialah pertama, meningkatkan keanggotaan UMNO khasnya dari kalangan golongan muda; kedua, mendaftarkan anggota UMNO sebagai pengundi; ketiga, menjalinkan hubungan antara Pemuda dan golongan yang berpengaruh dan keempat, memenangi perang mesej atau perang saraf terutama di alam siber yang menjadi landasan komunikasi politik masa kini.

"Penanda aras yang terakhir dan yang paling penting untuk menilai prestasi Pemuda adalah dengan menambahkan undi golongan muda kepada BN sekaligus memenangi undi saluran muda dalam pilihan raya.

"Set penanda aras ini selari dengan transformasi UMNO untuk menyegar dan meremajakan lagi parti,” katanya dalam ucapan dasar bertajuk “Di Persimpangan Jalan Perjuangan” pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini. - Bernama