CHANNEL UMB

Amaran Muhyiddin kepada pengkhianat bangsa

Tuesday, August 11, 2009 by Unit Media Baru PPUM · 0 comments
Filed under: ,






KUALA LUMPUR 10 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan orang Melayu mengenai individu-individu yang sanggup mengkhianati bangsa sendiri semata-mata untuk kepentingan politik masing-masing.

Beliau berkata, individu-individu seperti itu sanggup mengorbankan bangsanya sendiri demi memastikan cita-cita politik mereka tercapai.

“Menjadi tanggungjawab saya untuk menentang habis-habisan pihak yang sebegini. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan negara kalau kita (BN dan UMNO) tidak berkuasa pada pilihan raya umum akan datang,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) di sini hari ini.

Muhyiddin juga berkata apa yang membimbangkannya kini ialah terdapat orang Melayu yang menyokong orang bukan Melayu yang berani mempersoalkan hak dan dasar-dasar yang dibuat untuk orang Melayu.



“Saya tidak akan berhenti mengingatkan dalam tempoh setahun dua ini bahaya yang bakal kita hadapi. Bahaya sentiasa ada di hadapan kerana adanya Melayu yang gemar memutarbelitkan fakta yang pastinya disukai kaum bukan Melayu yang berkepentingan,” katanya.

Beliau mengajak orang Melayu supaya menentang pihak-pihak yang menjadi pengkhianat dan penderhaka ini yang hanya akan menyukarkan perjuangan UMNO untuk terus mempertahankan kedudukan orang Melayu.



NGO Sokong Kenyataan Muhyiddin Bahawa Anwar Pengkhianat

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Kira-kira 200 individu daripada 70 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini berhimpun di luar Menara Dato Onn di sini, yang menempatkan ibu pejabat Umno, sebagai menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang pengkhianat.

Kumpulan itu yang terdiri daripada NGO antaranya termasuklah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS) dan Pemuda Umno Malaysia membawa sepanduk yang tertera "Anwar Pengkhianat" sebelum mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) berlangsung.

Dalam ucapan ringkasnya, Khairy berkata pergerakan itu akan sentiasa berdiri teguh di belakang Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Anwar Ibrahim memang pengkhianat bangsa Melayu. Dan jika Tan Sri Muhyiddin masuk ke mahkamah, kita Pemuda UMNO akan turut sama mempertahankan beliau", katanya sambil melaungkan Jahanam Anwar dan turut disertai ratusan mereka yang lain.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Petaling Jaya Utara, Latt Shahrizan Abdullah berkata pihaknya gembira kerana Anwar Ibrahim membawa perkara itu ke mahkamah.

"Insyaallah kita sedia mengumpul bukti dan akan mendedahkan perkara itu di mahkamah kelak. Biar rakyat tahu siapakah sebenarnya Penasihat PKR itu yang bersikap talam dua muka", katanya


Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil turut menyuarakan sokongannya apabila beliau tiba untuk mesyuarat BN itu.

"Saya yang mewakili pihak wanita Umno Malaysia menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri bahawa Anwar adalah pemimpin yang menjadi pengkhianat, yang hanya mementingkan agenda diri mereka sendiri dan kita perlu tolak kepimpinan Anwar," kata Shahrizat.

Baru-baru ini, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno dalam ucapannya semasa merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Sri Gading di Batu Pahat menyifatkan Anwar, penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ketua Pembangkang, sebagai pengkhianat perjuangan orang Melayu.

Anwar dilaporkan meminta Muhyiddin memohon maaf atau berdepan saman sebanyak RM100 juta.

Naib Presiden GPMS Jais Abdul Karim berkata Anwar bukan sahaja pengkhianat perjuangan orang Melayu tetapi juga pengkhianat negara.

"Kami menyokong Timbalan Presiden (Umno) Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menyuarakan pandangan yang terbuku dalam hati semua. Anwar bukan sahaja pengkhianat orang Melayu, tetapi juga negara sehingga sanggup merosakkan ekonomi negara dengan menjadi dalang dalam perhimpunan Gerakan Mansuh ISA (GMI) (1 Ogos lepas) yang membawa kerugian kepada para peniaga serta membawa masalah kepada pelancong asing di negara ini," katanya.

Satu memorandum juga diserahkan kepada Muhyiddin sebaik beliau tiba untuk menghadiri mesyuarat BN itu.

Memorandum itu antara lain menyatakan Anwar telah membudayakan demonstrasi haram dan telah memburukkan nama negara.

Di ALOR SETAR, Umno Kedah turut menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin dengan menyatakan kenyataan Timbalan Perdana Menteri mengenai Anwar adalah tepat.

Banyak tindak-tanduk Anwar sejak pembentukan pakatan pembangkang sebelum pilihan raya umum tahun lepas bertentangan dengan kepentingan dan aspirasi bangsa Melayu, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah kepada pemberita di sini.

"Anwar malah menyokong supaya Universiti Teknoloji Mara (UiTM) dibuka kepada bukan Melayu...orang Cina dan India dalam BN memahami hak keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan.

"Kenapa Anwar yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri tidak boleh memahaminya," kata Ahmad Bashah.

Katanya Badan Perhubungan Umno Kedah akan menganjurkan pelbagai program untuk menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin di samping menjelaskan kenapa Anwar menjadi pengkhianat kepada bangsa Melayu.

-- BERNAMA

Comments

0 comments to "Amaran Muhyiddin kepada pengkhianat bangsa"