CHANNEL UMB

Nizar OII!! PAS Menipu ! Ku Nan Nafikan Tulis Surat Tolak Calon Selain Isa

Monday, October 5, 2009 by Unit Media Baru PPUM · 0 comments
Filed under: ,


Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini menafikan beliau telah menulis surat kepada Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan supaya memilih Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selaku calon BN pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Katanya surat yang menggunakan kepala surat rasmi Setiausaha Agung Umno itu yang kononnya ditandatangani beliau, adalah dipalsukan oleh pihak pembangkang.

Perbuatan itu merupakan taktik kotor terbaru pihak pembangkang dalam usaha memburuk-burukkan hubungan antara Ibu Pejabat UMNO, ahli Majlis Tertinggi (MT) parti dengan badan perhubungan negeri dan Umno bahagian Teluk Kemang khususnya, katanya.

Antara kandungan surat palsu itu, yang kini dimuatkan di laman web Umno-Online dituliskan seperti berikut: "Pihak Majlis Tertinggi amat dukacita memaklumkan bahawa calon yang dicadangkan oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan terpaksa ditolak kerana Presiden parti mahukan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon PRK N31 Bagan Pinang."

Tengku Adnan memberitahu Bernama bahawa surat berunsur fitnah itu kini sudah diedarkan secara meluas di sekitar kawasan Bagan Pinang dalam usaha untuk memecah belahkan Umno yang dilihat begitu utuh di Bagan Pinang.

"Saya tidak pernah mengeluarkan surat itu, itu satu pembohongan, ia surat yang telah dipalsukan oleh pihak pembangkang untuk memecah belahkan Umno khususnya di Bagan Pinang. Ini adalah taktik kotor parti lawan yang terdesak untuk memecah kubu kuat Umno," jelasnya.

Katanya beliau menyedari mengenai surat palsu itu setelah diberitahu pekerja parti yang meninjau aktiviti pembangkang di Bagan Pinang.

"Saya diberitahu tadi oleh pekerja parti, mereka jumpa surat yang diedarkan di kawasan itu (Bagan Pinang), mereka tanya kepada saya adakah itu surat betul, saya jawab saya tak pernah keluarkan surat itu, tanda tangan itu palsu," katanya.

Katanya beliau meminta agar jentera parti memantau perkara itu dan kalau ia berlarutan dan terus dijadikan modal politik parti pembangkang, beliau bercadang untuk melaporkan kepada polis.

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang pada 11 Okt ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor, dari BN pada 4 Sept lalu.

Comments

0 comments to "Nizar OII!! PAS Menipu ! Ku Nan Nafikan Tulis Surat Tolak Calon Selain Isa"