OKT 21 — Pernah satu ketika dahulu ada kawan bertanyakan sebuah soalan cepumas kepada saya “Zaidel, awak tak nampak macam seseorang yang bersifat perkauman? Kenapa awak boleh masuk Umno?” Maka dengan tenang saya melihat ke arah muka kawan saya dan berkata “Awak tak nampak macam seseorang yang bodoh, kenapa awak masuk PKR?”
Jangan marah ye kawan-kawan yang merupakan ahli PKR, saya bukan cuba untuk mengutuk, cuma saya hedak menyatakan suatu pandangan melalui sindiran terhadap soalan kawan saya tadi. Janganlah kerana ada beberapa orang dalam Umno yang mungkin bersifat perkauman habis semuanya dianggap begitu, kalau ada sebahagian ahli PKR yang tidak boleh berfikir, taksub dan memuja setiap ayat Anwar Ibrahim walaupun tak masuk akal, namun saya faham ada juga di dalam PKR yang berpandangan jauh, boleh berfikir dan tidaklah taksub membabi buta.
Memang saya tahu banyak benda yang telah para pembaca sekelian dengar atau baca mengenai kami ini tapi percayalah cakap saya bahawa tidak pernah dalam mana-mana mesyuarat cawangan Umno di Hulu Kelang atau Gombak kami membincangkan hendak menikam mana-mana bangsa lain dengan keris apatah lagi membakar sekolah jenis kebangsaan.
Bagus juga kalau saya menerangkan serba sedikit bagaimana saya boleh terjebak ke dalam dunia politik dan menyertai Umno. Ianya bermula beberapa bulan selepas tamat pengajian di UTM. Ketika di universiti saya sering mengikuti penulisan-penulisan blog politik dari Malaysia Today sehinggalah ke Rockybru.
Pada masa yang sama saya langsung tidak melibatkan diri dalam aktiviti politik kampus, almaklumlah pelajar fakulti Kejuruteraan memang tiada masa untuk melibatkan diri dalam perkara-perkara seperti ini. Malah sewaktu saya belajar di sana, Fakulti Kejuruteraan Elektrik mencatat peratus pengundian Perwakilan Pelajar terendah di kampus iaitu bawah 30 peratus yang keluar mengundi, itu pun calon yang menang adalah calon perempuan yang paling lawa. Jadi setelah tamat pengajian saya kini sudah ada masa jadi saya pun mengambil keputusan untuk berhenti menjadi pemerhati dan pengkritik semata-mata dan cuba untuk melibatkan diri dalam politik.
Saya memilih Umno.
Maka pada satu tengah hari yang indah saya pun naiklah ke pejabat Pemuda Umno berhampiran rumah, sampai di situ saya pun menegurlah kepada kerani di sana dan menyatakan hasrat saya untuk menjadi ahli Umno. Kemudian kerani itu yang tergamam sebentar memanggil seseorang datang berjumpa dengan saya dan berikut adalah perbualan pendek kami
“Ye boleh saya bantu?”
“Ahh saya datang ni nak jadi Ahli Umno, jadi macamana saya nak kena buat? Ada borang nak kena isi?”
“Siapa hantar awak ni?”
“Takde siapa hantar saya encik.”
“Jadi macamana awak tahu nak kena datang sini?”
“Kan dekat luar ada papan tanda besar-besar tulis Pemuda Umno.”
Kemudian musim pilihanraya pun tiba, saya pun lalulah berhadapan pejabat PAS di Taman Permata terpampang gambar Saari Sungib dan di situ tertulis yang PAS mengalu-alukan sukarelawan pemuda membantu kami menjalankan Jentera Pilihanraya. Maka saya selaku ahli Umno pun terfikir sejenak BN pasti nak pakai orang. Hatta saya pun berjalan ke arah satu rumah yang dipenuhi dengan poster Barisan Nasional yang merupakan bilik gerakan DUN. Saya yang mulanya agak gementar memberanikan diri dan masuk, di dalamnya orang undar-mandir ke hulu ke hilir sibuk tidak sedar akan saya. Maka dengan suara yang terketar saya pun memberikan salam dan menyatakan hasrat saya. Seluruh bilik tergamam melihat saya, kemudian keluarlah satu soalan cepumas yang pernah saya dengar satu ketika dahulu
“Siapa hantar awak?”
“Takde siapa hantar saya encik!”
“Macamana awak tahu nak kena datang sini?”
“Dekat luar ada bersepah-sepah poster Barisan Nasional, saya agak ini pasti bukan markas PAS!”
Bayangkan saya yang nak berkerja pun sudah kecewa apatah lagi perasaan pengundi biasa. Maka tak terkejutlah apabila Umno dan Barisan Nasional tersungkur. Barangkali pemimpin ketika itu terlalu selesa mendengar pujian-pujian kaki ampu yang mengangkat mereka di majlis dan ingat, ini bukan sahaja salah Presiden Umno ketika itu akan tetapi kesemua jentera kepimpinan yang perlu mengambil tanggungjawab.
Saya melihat ketika itu Umno menganggap ahli parti yang rendah macam saya ini adalah tidak penting dan pengkiritik itu hanyalah pengacau yang mahu memecah belahkan parti, ibarat kami ini hanyalah seekor lipas, seekor lipas yang tiada suara. Maka atas perasaan itulah timbullah blog lipassepi, yang dibuat selepas keputusan pilihanraya.
Jadi ada mungkin yang mempersoalkan kenapa saya kini tidak berada dalam Pakatan Rakyat? Kenapa masih bersama Umno? Kerana pada saya melihat Pakatan Rakyat iaitu sebuat perikatan yang langsung tidak wujud sebelum pilihanraya, yang mana DAP mati-mati tidak mengaku bekerja sama dengan PAS adalah sebuah perikatan yang dijalinkan atas dua perkara iaitu Cinta dan Benci. Cinta kepada kuasa dan benci kepada Barisan Nasional.
Selain dari dua perkara ini saya tidak nampak apa-apa persamaan dari segi ideologi antara ketiga-tiga parti yang mana satu mahukan negara Islam, satu mahukan negara sekular dan lagi satu mahukan pemimpinnya menjadi Perdana Menteri. Sebuah perikatan yang begini tidak boleh, tidak mampu dan tidak wajar menjadi kerajaan. Saya mahu perjuangkan sebuah negara Malaysia yang berteraskan Islam akan tetapi belaku adil kepada semua rakyat, Islam yang progresif, berpandangan jauh dan berwawasan. Saya menolak tafsiran negara Islam yang sempit dan cetek maka atas sebab itu saya tidak bersetuju dengan dasar Hudud PAS dan tafsiran negara Islam mereka.
Walaupun saya mahukan negara ini maju, kaya dan berjaya akan tetapi saya tidak mahu sebuah Malaysia yang tidak mempunyai jati diri dan identiti seperti mana saya lihat pada Singapura. Suka atau tidak saya melihat bahawa Barisan Nasional adalah sebuah perikatan yang terjalin sekian lamanya atas dasar mempercayai bahawa untuk memajukan negara ini dan menjadikan ianya negara yang baik perlulah semua pihak dibawa berganding bersama.
Namun sebab yang paling utama mengapa saya terus berada dalam Umno ialah kerana mempercayai bahawa sekecil lipas macam saya ini pun mampu mengubah Umno kepada sebuah parti yang kembali kepada perjuangan asalnya. Sedikit demi sedikit. Kembali kepada perjuangan yang ikhlas mahu berbakti kepada negara dan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa. Sebuah parti yang pragmatik, berpandangan jauh dan mengikut resam padi, semakin tunduk semakin berisi.
Mungkin ada yang bernada sini mengatakan yang saya ini akan gagal, bahawa lipas macam saya ini tidak akan mampu berbuat apa-apa di dalam Umno akan tetapi biarlah saya menjawab yang saya ini masih muda dan sifat orang muda memanglah idealis. Saya lebih rela masuk dan mencuba jalan yang sukar dari hanya duduk di tepi dan hanya tahu mengkritik dan melihat dan percayalah ramai lagi lipas-lipas dalam Umno dan Barisan Nasional mempunyai pandangan dan perjuangan yang sama seperti saya.
Dan pada hari ini, semangat perubahan semakin membara dari sebelumnya, kerana selepas pindaan perlembagaan dan sistem pemilihan pemimpin, kini buat pertama kalinya dalam sejarah Umno akar umbi memilih terus pemimpin mereka, wahai para pembaca sekelian perubahan yang baik semakin menyinari pelusuk parti ini kerana kini, Lipas, sudah tidak sepi lagi.
Bersama kita bersama, mendukung hasrat semua, berjasa pada bangsa (semua), agama (Islam) dan Negara (Malaysia).
Comments
6 comments to "Nizar dan PKR ! Kalau Tak Bodoh, Kenapa Masuk PKR?"kalau masuk umno lagi lah .....
masuk umno sbb nk kaya la... aku pn masuk umno sbb nk kaya.. trus terang je la..
aku dalam UMNO dah lama pun tak kaya..kaya..tapi masih UMNO gak lagi..apa cerita nie..!!!mungkin pasal aku tak pandai bodek kot..!!
to anon 3:23
bukan umno yg bagi ko kaya, tp diri ko sendiri yg nk hidup senang dan kaya.....
bile ko masuk umno, ko py semangat tgi nk cari rezeki, bg mkn anak bini...
cube pkr blk, kalu xmasuk umno pon, kalu ko bleh berdikari, xde sbb ko xleh kaya...
bile ko masuk umno, klu btul ko kaya maknenya ko dah bw diri ko ke tahap yg tgi...
ape2 pon, same ada cara ko tu btul atau x, itu antara ko ngan tuhan, bukan ko ngan umno....
ape2 pon, kite cube pikir ape niat ko sebenarnye bile masuk umno
pikir2kan la....
Sampai bila nk sempitkan otak utk kata msk umno utk kaya...
Kaya adlh satu bentuk yg subjektif.jika saudara msk suatu circle yg besar spt parti politik,semestinya networking
saudara akn lebih luas..sekaligus membuka lebih ruang dan peluang
Utk memajukan diri..jika benar umno dpt membantu
Org hidup lebih baik,kenape perlu ditolak ketepi..?
Utk article lipas ini,sy rs jika lebih ramai ahli diluar sane yg bersemangat yg sama, saya pasti umno mampu
Menzahirkan perubahan yg dimahukan.
Oiiii ini blog apa ni, jangan bua malu pemuda weiiiiii
Post a Comment