CHANNEL UMB

PRK Manek Urai : Promosi lapuk tanda PAS tidak pentingkan Manek Urai

Monday, July 13, 2009 by Unit Media Baru PPUM · 1 comments
Filed under: , , , ,


Kempen semakin hangat di Manek Urai. PAS telah memulakan kempen dengan mempertahankan Nik Aziz dengan bersungguh-sungguh. Husam dalam ceramahnya begitu mengagung-agungkan Nik Aziz, seolah-olah Nik Aziz adalah seorang yang maksum dan tidak boleh ditegur mahupun disentuh. Husam malah mencabar UMNO dan BN menyerang Nik Aziz. “Seranglah,” katanya “kita lebih suka Tok Guru diserang kerana bila rakyat marah, rakyat akan beri undi kepada PAS.”

Walaupun mulut kata berani, namun nampaknya PAS takut juga sekiranya rakyat memberi kemenangan kepada BN. Lebih-lebih lagi jika rakyat mulai sedar bahawa selama 20 tahun Nik Aziz memerintah Kelantan, beliau nampaknya gagal untuk memainkan peranan sebagai pemerintah yang efektif dan membawa pembangunan dan kemakmuran.

Akibat takut, jentera PAS cuba meraih simpati rakyat dengan menghebahkan pula kononnya Nik Aziz akan meletak jawatan jika PAS kalah di Manek Urai. Bagi meraih simpati rakyat, PAS terus menggunakan strategi lapuk dengan menampal poster lama gambar Nik Aziz sedang berdoa. Khabarnya poster ini ditampal dan digantung lebih banyak berbanding poster gambar Puji Ikan, seolah-olah calon tidak penting; yang penting jika bersimpati dengan Nik Aziz, undilah PAS.

Promosi poster lapuk doa Nik Aziz adalah segala-galanya bagi jentera PAS. Bagi mereka, doa Nik Aziz lebih utama daripada usaha dan kerja kuat, sedangkan kita semua tahun Allah SWT berfirman bahawa Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu berusaha mengubah nasib mereka sendiri.

Bagi menutup kelemahan Nik Aziz dalam mentadbir negeri, jentera PAS menggambarkan seolah-olah rakyat Kelantan tidak mahukan pembangunan. Mungkin itulah sebabnya walaupun kawasan balak sudah hampir gondol, namun tidak nampak pembangunan yang ketara di Kelantan. Hairannya Hadi menuntut pula royakti minyak diberikan ke Kelantan. Untuk apa dan siapa, jika rakyat Kelantan tidak memerlukan pembangunan dan kemakmuran material?

20 tahun Nik Aziz memerintah Kelantan, namun tidak nampak kemajuan yang begitu ketara. Rakyat Kelantan yang kononnya tidak mahukan pembangunan, berpusu-pusu keluar dari negeri Kelantan, bukan sahaja untuk mencari nafkah, tetapi ramai yang mencari kekayaan di luar negeri Kelantan.

Begitulah di Manek Urai. Kerusi Manek Urai bukan satu kerusi yang penting bagi PAS. Ia tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri. Mungkin disebabkan itu PAS tidak begitu mengambil berat tentang kebolehan dan tahap pendidikan calon untuk membangunkan Manek Urai. Sedangkan bagi BN, Manek Urai amat penting. Disebabkan itu BN memilih calon yang bukan sahaja berpendidikan, mesra rakyat dan berkebolehan, malah merupakan seorang yang telah menabur jasa yang banyak dalam membangunkan Manek Urai.

Seperti yang kita semua tahu, kerusi ini tidak penting bagi PAS. Pengundi Manek Urai, ambillah ruang ini untuk memberi peluang kepada anak Kelantan bernama Tuan Aziz Tuan Mat membuktikan dirinya. Jika prestasinya tidak bagus, tolak lah dia tiga tahun lagi. Berilah dia peluang untuk membawa sinar baru kepada rakyat Manek Urai. Ambillah peluang ini untuk membuktikan bahawa rakyat Manek Urai inginkan pembangunan yang telah dinafikan sepanjang tempoh 20 tahun ini.

Tun Faisal Ismail bin Aziz
Pengerusi Unit Media Baru Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia